Mesyuarat Agung Sektor Kejurulatihan Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) bagi tahun 2025 telah diadakan pada 12 Oktober 2025 bertempat di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), Batu Caves, Selangor.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan dan disempurnakan oleh YM Datuk Wira Haji Megat Zulkarnain bin Tan Sri Omardin, Mahaguru Muda PSSLM, yang sekali lagi menegaskan komitmen beliau dalam memperkukuh struktur kejurulatihan PSSLM di seluruh negara.

Diadakan setiap tiga tahun, mesyuarat ini menjadi platform rasmi untuk melantik barisan baharu Sektor Kejurulatihan PSSLM bagi penggal 2025-2028.

Pelantikan tersebut bertujuan memperkemas sistem latihan, mengukuhkan organisasi, serta menyokong kepimpinan YM Datuk Mahaguru Muda dalam mempertingkatkan mutu dan pengembangan Pertubuhan Silat Seni Lincah Malaysia.

Mesyuarat kali ini turut menyaksikan penyertaan para jurulatih dari seluruh Malaysia, memperlihatkan penyatuan dan kekuatan jentera kejurulatihan PSSLM.

PSSLM Negeri Pulau Pinang hadir dengan kekuatan 70 orang ahli, melambangkan komitmen tinggi negeri ini dalam penyertaan dan pembangunan Silat Lincah.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada mereka yang telah dilantik untuk memegang jawatan dan amanah dalam Sektor Kejurulatihan Negeri mahupun Kebangsaan.

Semoga amanah yang diberikan dapat digalas dengan penuh dedikasi demi memperkasakan warisan Seni Silat Lincah dan menjulang martabatnya ke peringkat yang lebih tinggi.