Mesyuarat Sektor Kejurulatihan PSSLM Negeri Pulau Pinang Bil. 1/25 bagi penggal 2025–2028 telah berjaya diadakan pada 1 November 2025 bertempat di Restoran Route 69, Bandar Perda.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Pengerusi PSSLM Negeri Pulau Pinang, YBhg. Datuk Abdul Aziz Syeikh Ahmad, yang memberikan sokongan dan penegasan terhadap usaha memperkasakan sektor kejurulatihan di peringkat negeri.

Penganjuran mesyuarat ini merupakan kesinambungan daripada pelantikan Sektor Kejurulatihan PSSLM Negeri Pulau Pinang oleh YM Datuk Mahaguru Muda PSSLM pada Mesyuarat Agung Sektor Kejurulatihan PSSLM yang telah berlangsung pada 12 Oktober 2025 di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), Batu Caves, Selangor.

Melalui mesyuarat ini, Ketua Jurulatih PSSLM Negeri Pulau Pinang yang baharu telah melantik barisan Ahli Jawatankuasa serta biro-biro Sektor Kejurulatihan Negeri Pulau Pinang bagi sesi 2025–2028.

Pelantikan ini menjadi asas penting dalam memperkukuh struktur latihan, memperkemas pengurusan dan memastikan kesinambungan pembangunan Silat Lincah di Negeri Pulau Pinang.

Dengan terbentuknya barisan kepimpinan kejurulatihan yang baharu, PSSLM Negeri Pulau Pinang komited untuk melaksanakan agenda pembaharuan, mempertingkat kualiti latihan dan memartabatkan Seni Silat Lincah ke tahap yang lebih tinggi.