Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia Negeri Pulau Pinang telah mengambil bahagian dalam Kejohanan Silat Tanding Jejak Satria 2025 yang telah berlangsung pada 9 dan 10 Ogos 2025 di Bertam, Kepala Batas. Kejohanan ini dianjurkan oleh Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) Cawangan Nyior Sebatang dengan kerjasama Bertam Street Market.
Kejohanan ini merupakan pertandingan terbuka yang menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai kelab dan pertubuhan silat dari seluruh negara. Dalam kejohanan ini, Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia Negeri Pulau Pinang telah menghantar seramai 16 orang pesilat untuk bertanding dalam pelbagai kategori.
Dengan semangat juang yang tinggi dan komitmen yang padu, pasukan ini telah berjaya meraih keputusan yang membanggakan dengan membawa pulang sebanyak 6 pingat emas dan 10 pingat perak.
Tahniah diucapkan kepada semua pesilat yang telah bertanding dengan penuh semangat kesukanan dan disiplin tinggi. Pencapaian ini adalah hasil usaha gigih serta latihan berterusan yang telah dijalani. Syabas dan setinggi-tinggi penghargaan juga diberikan kepada para jurulatih yang telah membimbing dan mempersiapkan para pesilat dengan cemerlang.
0 Comments