OMARDIN Mauju (tengah) memegang sijil daripada
Guinness World of Records dan The Malaysia Book of Records selepas 500 peserta Silat Lincah berjaya mencipta rekod bersilat 10 jam tanpa henti di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, semalam

KUALA LUMPUR 30 Mei - Kejayaan ahli Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) menjayakan aksi silat selama 10 jam tanpa henti untuk dicatatkan dalam Guinness World of Records disifatkan sebagai pencapaian terbaik anak-anak muda negara.

Mahaguru PSSLM, Datuk Omardin Mauju berkata, pencapaian membanggakan itu juga merupakan tanda sokongan berterusan pesilat-pesilat terutama golongan muda kepada Ulul Amri PSSLM, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kejayaan ini sebagai bukti pertubuhan silat terutama PSSLM akan terus memberi sokongan kepada kepimpinan Najib. Beliau (Najib) sebagai Ulul Amri PSSLM pasti berbangga dengan kejayaan anak-anak muda ini.

"Saya juga sebagai Mahaguru cukup berbangga dengan pencapaian pesilat PSSLM yang tidak mempunyai masalah untuk menyempurnakan misi ini, pesilat berumur tiga tahun dan enam tahun juga menyertainya walaupun mereka tidak secara berterusan bersilat sehingga ke pagi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kejayaan pesilat PSSLM mencatat nama dalam Guinness World of Records dan The Malaysia Book of Records apabila bersilat 10 jam 4 saat tanpa henti bermula pukul 9.20 malam semalam dan berakhir kira-kira pukul 6.20 pagi ini di Taman Tasik Titiwangsa di sini.

Ia disertai 500 pesilat pelbagai peringkat usia yang beraksi tanpa henti dengan membuat jurus asas dan diikuti selingan seni tempur dan buah pukulan di dalam silat.

Mengulas lanjut, Omardin berkata, program itu bukan sahaja bertujuan mencatatkan rekod dunia tetapi pada masa sama dapat mengangkat martabat seni silat negara di mata dunia