GOMBAK 13 Mei - Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) boleh berbangga kerana bakal mempunyai kompleks serba lengkap untuk menjalankan aktiviti tidak lama lagi.

Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) yang terletak berdekatan dengan Taman Sunway, Batu Caves itu juga akan menjadi mercu tanda dan kebanggaan pertubuhan silat dan pengamalnya.

Buat masa ini, pembinaan fasa pertama kompleks itu telah siap.

Pengasas dan Mahaguru PSSLM, Tan Sri Omardin Mauju berkata, kompleks yang dibina di kawasan kira-kira dua hektar sejak lebih setahun lalu itu menelan belanja kira-kira RM6 juta.

Menurutnya, perasmian kompleks itu dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hujung bulan ini.

Ujarnya, pembinaan fasa pertama membabitkan sebuah dewan utama yang mampu memuatkan kira-kira 2,000 orang pada satu-satu masa itu boleh dipecah menjadi empat gelanggang untuk kegunaan pertandingan silat

"Kompleks ini bukan sahaja untuk kegunaan ahli PSSLM, tetapi semua persatuan silat boleh menggunakannya termasuk anak-anak muda yang ingin mengisi masa terluang mereka.

"Malah, kompleks ini juga bersedia untuk dijadikan lokasi pertandingan silat olahraga peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi PSSLM, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan guru-guru silat PSSLM.

Omardin yang juga Presiden Majlis Pendekar Malaysia (MPM) berkata, pembinaan fasa kedua kompleks tersebut telah dimulakan dengan mewujudkan gelanggang futsal, kafe siber, restoran, asrama dan beberapa lagi kemudahan.

"Pembinaan tersebut akan siap dalam tempoh tiga bulan membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM13 juta termasuk nilai tanah yang digunakan untuk membangunkan kompleks ini.

"Sebelum ini, kita mengalami kesukaran untuk menjalankan aktiviti termasuk mesyuarat agung yang terpaksa dilakukan di hotel-hotel, jadi dengan siapnya KLMO ini, yang saya rasa yang pertama di negara ini, akan memberi manfaat kepada semua," katanya.

Rujukan Daripada Utusan Malaysia 14hb Mei 2013