Rujukan Daripada Sinar Harian 13-10-2012

GEORGETOWN - Pengamal ilmu seni mempertahankan diri diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan gelaran seperti ‘paduka diraja’, ‘yang mulia’ tanpa mendapat pengiktirafan dari istana.

Presiden Majlis Pendekar Malaysia (MPM), Tan Sri Omardin Mauju berkata, pihaknya mendapati semakin ramai ‘tok guru’ yang menggunakan gelaran istana itu termasuk bukan di kalangan beragama Islam dan ia dikhuatiri menjejaskan martabat institusi diraja.

Menurutnya, pemakaian gelaran berkenaan dikatakan untuk kepentingan diri sendiri manakala pelantikan darjah kebesaran dilaksanakan tanpa mendapat sebarang pengiktirafan dari mana-mana pihak.

“Perkara sebegini sudah dikenalpasti dan akan dibincangkan ke peringkat atasan. Kita tidak kisah sesiapa yang mahu memakai gelaran mahaguru tetapi jangan sampai melanggar kedaulatan institusi diraja.

“Bukan setakat itu, ada pihak yang mencipta tengkolok, selendang dan songkok mengikut gelaran yang diwujudkan mereka sendiri. Tindakan itu boleh memberi kesan terhadap pertubuhan seni pertahankan diri terbabit,” katanya pada sidang media selepas penyerahan watikah pelantikan jawatankuasa penaja Majlis Pendekar Malaysia cawangan Pulau Pinang, di sini semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai Majlis Pendekar Malaysia, Omardin berkata, badan itu telah berjaya menghimpunkan kira-kira 2 juta pengamal ilmu seni mempertahankan diri untuk bernaung di bawah (MPM).

Menurutnya, sehingga kini sebanyak tujuh cawangan negeri telah dibuka dan MPM akan dikembangkan di Johor tidak lama lagi.

“MPM adalah satu wadah untuk menghimpunkan kesemua yang terlibat dengan ilmu seni mempertahankan diri tanpa mengira aliran yang dipelajari.

“MPM juga menerapkan semangat 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri dan dengan kekuatan yang ada kita bersedia untuk menjadi benteng ke tiga pertahanan negara,” katanya.

Omardin berkata, melalui MPM pihaknya juga bercadang untuk menubuhkan Yayasan Pendekar bagi menjaga kebajikan dan mengiktiraf pengamal seni mempertahankan diri yang telah berjasa kepada negara.