Rujukan Daripada Berita Harian Muka Surat Hadapan 26/4/2012



Rujukan Daripada Utusan Malaysia 26/4/2012

KUALA LUMPUR 25 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru para pesilat di seluruh negara yang merupakan barisan pertahanan ketiga negara agar menterjemahkan taat setia mereka melalui sokongan terhadap kerajaan sedia ada.

Beliau percaya para pesilat merupakan golongan yang amat berdisiplin dan menghormati undang-undang negara sekali gus menolak tanggapan negatif sesetengah pihak terhadap golongan tersebut.

‘‘Malam ini telah membuktikan para pesilat adalah mereka yang mempertahankan undang-undang negara, justeru kenapa pihak lain tidak boleh buat perkara yang sama sedangkan ini adalah sikap kecintaan terhadap negara," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Kejohanan Silat Kebangsaan 2012 yang turut dihadiri oleh Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di sini malam ini.

Pada majlis tersebut, Najib turut merasmikan Perhimpunan Pesilat Seluruh Negara dan Malam Pendekar 2012 yang dihadiri kira-kira 15,000 peserta dari seluruh negara.

Pada majlis tersebut, beliau turut dianugerahkan anugerah tertinggi Laksamana Negara oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) yang disampaikan oleh Pengerusi Dewan Perguruan Pesaka Malaysia, Tan Sri Omar Din.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kebebasan mutlak tidak boleh diwujudkan tanpa mengambil kira kepentingan masyarakat dan negara kerana ia akan membawa huru-hara.

‘‘Kita sedia maklum bahawa kita mengamalkan demokrasi berparlimen, kuasa mutlak bukanlah melalui laras senapang dan tidak berada di hujung keris... kuasa mutlak ialah di tangan rakyat... di tangan rakyat kuasa itu... penentuannya adalah sekali dalam empat atau lima tahun dan mestilah diterjemahkan dalam bentuk sokongan melalui peti undi," katanya.