KUALA LUMPUR 20 Jun - Pendekar Malaysia, Tan Sri Omardin Mauju yang menghidap kanser tulang sejak lebih setahun lalu meninggal dunia di Hospital Tawakal di sini awal pagi ini selepas mengalami komplikasi buah pinggang.
Omardin, 74, yang merupakan Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 3.20 pagi setelah 15 hari menerima rawatan di hospital itu.
Jenazah penerima Anugerah Pendekar Negara pertama pada 2011 itu telah dimandi dan disembahyangkan di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) di Taman Sunway, Batu Caves, dekat sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Puah, Gombak pada pukul 4.05 petang.
Allahyarham meninggalkan dua isteri, Puan Sri Raja Azizah Raja Ahmad Shah dan Norazian Abdul Rahman serta sembilan anak.
Anak keduanya, Wan Zurina yang menghidap kanser perut me- ninggal dunia, Oktober tahun lalu.
Menurut anak sulungnya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, sebelum meninggal dunia, Allahyarham dilihat berasa puas kerana hasratnya untuk melihat perasmian KLMO tercapai 10 hari lalu.
Katanya, bapanya juga telah melakukan pertabalan terhadap barisan tenaga pengajar muda pilihannya selain berjaya melangsungkan Kejohanan Onesilat di Putrajaya, April lalu.
“Dengan itu, semua kerjanya telah diselesaikan semasa hayatnya dan selepas itu, dia pun pergi dengan tenang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kata beliau, Omardin turut meminta supaya perjuangannya itu diteruskan dan diwarisi untuk 50 hingga 100 tahun akan datang termasuk oleh anak bongsunya yang baru berumur tujuh tahun.
“Ini yang akan kita laksanakan, amanah itu yang saya pikul sebagai anak sulung daripada lapan adik beradik. Insya-Allah, enam anak lelaki daripada lapan orang ini akan terus memperjuangkannya,” tegas beliau